KEADAAN sungai yang di penuhi dengan kayu balak di Taman Rekreasi Titi Hayun selepas banjir kilat susulan kejadian kepala air di kaki Gunung Jerai di Titi Hayun Yan. FOTO BERNAMA
KEADAAN sungai yang di penuhi dengan kayu balak di Taman Rekreasi Titi Hayun selepas banjir kilat susulan kejadian kepala air di kaki Gunung Jerai di Titi Hayun Yan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Taburan hujan lebat luar biasa dalam tempoh yang singkat di sekitar kawasan puncak Gunung Jerai, Yan, Kedah, petang semalam menyebabkan kejadian banjir di kawasan penempatan di Kuala Muda dan Yan, menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, laporan tinjauan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mendapati terdapat taburan hujan lebat luar biasa di kawasan itu bermula kira-kira 2.30 petang.

"Kejadian hujan yang ekstrem ini menyebabkan fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai dan banjir lumpur sehingga kedalaman 0.1 meter hingga 0.3 meter di Kuala Muda dan 0.2 meter hingga 1.5 meter di Yan," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan beberapa kampung dan taman perumahan di sekitar Gunung Jerai dilanda banjir akibat kejadian kepala air dari kawasan air terjun di kaki gunung itu.

Kejadian turut menyebabkan limpahan air deras ke kawasan kediaman sehingga merosakkan jalan raya dan rumah.

Kerajaan Kedah mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap Satu berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

Pengurusan dan pengendalian bencana di kawasan yang dikategorikan sebagai Tahap Satu ditangani oleh agensi-agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana di peringkat daerah, sama ada tanpa bantuan luar atau dengan bantuan luar yang terhad.

Menurut Zaini, hujan lebat di hulu iaitu kawasan bukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai serta terdapat halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok yang tersangkut sepanjang laluan air.

Berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Stesen Hujan Gunung Jerai dan Stesen Hujan Kampung Singkir Genting masing-masing merekodkan bacaan kumulatif 281 milimeter (mm) dan 172 mm, katanya.

"Dalam tempoh satu jam, jumlah kumulatif tertinggi hujan direkodkan adalah 91 mm," katanya sambil menambah rekod menunjukkan pada jam 6 petang, hujan yang turun melebihi 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI).

Ukuran tahap melampau sesuatu hujan dianggarkan menggunakan kiraan kala kembali (ARI). ARI adalah jumlah tahun yang diramalkan berlalu sebelum kejadian suatu magnitud hujan berlaku kembali. Lebih tinggi nilai ARI, lebih tinggi kelebatan hujan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 7:26 PM