AMIRUDIN. FOTO Arkib NSTP
AMIRUDIN. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yakin Selangor mampu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) September ini berikutan peningkatan kadar vaksinasi.

Amirudin berkata, berdasarkan kemas kini daripada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan aplikasi MySejahtera, 98 peratus rakyat Selangor sudah mendapat dos pertama vaksin.

"Minggu lalu, kita dapati 80 peratus warga Selangor menerima dos pertama tetapi selepas dikemas kini menerusi aplikasi MySejahtera, ia sudah mencapai 98 peratus. Ia mungkin disebabkan ada yang menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar Selangor (Kuala Lumpur).

"Kes kemasukan pesakit Covid-19 kategori satu hingga tiga ke hospital di negeri ini juga menurun terutamanya di Hospital Tengku Ampun Rahimah (HTAR) dan Hospital Sungai Buloh.

"Justeru kita jangkakan, menjelang September, Selangor bersedia untuk memasuki fasa kedua PPN," katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Menurutnya, bagi melengkapkan kadar pemberian vaksin, kerajaan negeri juga akan menyediakan 100,000 dos vaksin untuk diagihkan ke lokaliti yang memerlukan (kumpulan yang tertinggal).

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan ada berhubung dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan usaha berganding bahu supaya menangani kes Covid-19.

"Susulan situasi ini, Selangor bersetuju untuk meminjamkan stok 500,000 dos vaksin yang dibeli bagi kegunaan Selangor Vaksin (SelVAX) kepada CITF Kebangsaan supaya dapat digunakan di kawasan dan negeri yang mengalami peningkatan kes mendadak dengan kadar vaksin yang kurang.

"CITF Kebangsaan akan memulangkan peminjaman dos vaksin ini kemudian sebagai persediaan kemungkinan keperluan tambahan suntikan dos vaksin ataupun 'booster dose'," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin memaklumkan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) akan diteruskan seperti yang dijadualkan iaitu bermula 23 Ogos ini.

Katanya, antara usul yang akan dibentangkan adalah pindaan kepada Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor untuk membenarkan persidangan secara hibrid.

"Ini juga sebagai persediaan menghadapi penularan pandemik masa hadapan atau cabaran lain yang menyukarkan persidangan secara fizikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 6:12 PM