Hamzah Osman


Langkawi: Lebih 90 peratus kakitangan hotel di Langkawi sudah divaksin, sekali gus memberi harapan cerah industri perhotelan di pulau itu boleh dibuka semula dalam tempoh terdekat.

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat, berkata pencapaian angka itu melegakan pengusaha hotel yang tidak sabar untuk beroperasi semula.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Lebih setahun setengah kami (pengusaha hotel) menderita kerana berhadapan pendapatan sifar, jadi langkah kerajaan memilih Langkawi sebagai destinasi perintis gelembung pelancongan amat melegakan.

"Lebih 50 hotel berstatus tiga bintang ke atas yang berada bawah naungan MAH sudah bersedia sepenuhnya untuk beroperasi dengan amalan normal baharu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengurus Besar Hotel Adya Langkawi berkata, pihaknya memberi jaminan semua fasiliti dan bilik penginapan hotel sentiasa disanitasi bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Malah, tetamu yang tidak sihat, mereka akan segera dibawa ke klinik berhampiran atau Hospital Sultanah Maliha untuk ujian Covid-19 dan menerima rawatan.

"Menjelang pembukaan gelembung pelancongan, semua pengusaha hotel kini giat melakukan promosi secara maya dengan tawaran harga mampu milik kepada pelancong domestik," katanya.

Sementara, Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Bayview Hotel Langkawi, Utami Fajar Sari, berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap SOP mengekang Covid-19 membabitkan kakitangan dan pengunjung.

"Seramai 119 kakitangan dan pengunjung diwajibkan mematuhi SOP ditetapkan MKN dengan mengimbas aplikasi Mysejahtera, pemeriksaan suhu badan dan semburan cecair sanitasi badan di pintu masuk.

"Malah, kami selangkah maju ke hadapan apabila 100 peratus kakitangan kami lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya melakukan proses sanitasi sejam sekali, walaupun kemasukan pengunjung pada tahap minimum dan hanya membabitkan kakitangan dalam Perkhidmatan Perlu (Essential Services).

"Sebaik gelembung pelancongan dibuka, pihak kami akan meneruskan tawaran harga istimewa kepada pengunjung dan yang penting hotel dapat beroperasi semula, sekal gus menyemarakkan sektor pelancongan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 2:50 PM