GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Aizat Sharif


Kangar: Kadar penggunaan katil di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) serta kemudahan kesihatan kerajaan untuk merawat pesakit Covid-19 di Perlis didapati meningkat sejak minggu lalu.

Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, walaupun berlaku peningkatan dari segi penggunaan katil, ia masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan.

"Berdasarkan rekod, keseluruhan 129 katil di HTF digunakan dengan tambahan dua lagi katil menjadikannya 131 atau 101.5 peratus katil digunakan bagi merawat pesakit Covid-19.

"Selain itu, di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTF pula, daripada 11 katil yang berada dalam unit berkenaan, lapan daripadanya sedang digunakan atau 72.7 peratus," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, sebanyak 92 daripada 114 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) Kangar digunakan.

"Jumlah itu bersamaan 80.7 peratus dan bagi PKRC Pusat Koreksional Perlis pula, hanya 17 peratus atau 34 katil saja digunakan daripada 200 katil yang diperuntukkan.

"Namun, jika diukur dari segi jumlah pesakit, kuantiti kes yang dirawat di HTF dan kemudahan kesihatan kerajaan di negeri ini masih rendah," katanya.

Beliau berkata, terdapat dua kluster tempat kerja yang menyumbang kepada peningkatan kes di Perlis.

"Bagi kluster Jalan Bukit Keteri, 10.9 peratus kakitangan atau 33 pekerja disahkan positif Covid-19 manakala kluster Zon Industri Jejawi pula menyumbang kepada 8.9 peratus atau 27 individu positif Covid-19.

"Kuala Perlis dan Sanglang masih menjadi kawasan zon merah dengan merekodkan 66 dan 43 kes sehingga kini," katanya.

Selepas hampir setahun setengah bertahan dengan penularan jangkitan kes Covid-19 yang berada di bawah paras 1,000 kes akhirnya Perlis melepasi juga paras berkenaan pada Sabtu lalu.

Sehingga kini, Perlis merekodkan jumlah penularan jangkitan kes Covid-19 sebanyak 1,149 kes yang mana semalam saja sebanyak 50 kes harian lagi direkodkan berlaku.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 2:14 PM