MUHAMMAD Sanusi. FOTO Luqman Hakim Zubir.
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri Kedah mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda kini diklasifikasikan sebagai Kawasan Bencana Tahap Satu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan arahan tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20.

"Semua agensi kerajaan dan badan berkanun yang berkaitan dengan pengurusan operasi bencana kini sedang mengambil pelbagai langkah yang perlu bagi memastikan musibah yang melanda dapat ditangani dengan berkesan.

"Pihak swasta dan juga badan-badan sukarela yang mahu membantu akan diberikan latihan yang mencukupi bawah penyelarasan MKN," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya turut merakamkan rasa dukacita yang amat mendalam berikutan kejadian banjir kilat dan serangan 'kepala air' di kedua-dua daerah khususnya sekitar kaki Gunung Jerai, petang semalam.

Katanya, kejadian itu meragut beberapa korban dan menjejaskan kehidupan penduduk kawasan itu.

"Saya bagi pihak pimpinan kerajaan negeri dan pegawai tadbir mengucapkan takziah dan berkongsi rasa sedih yang amat mendalam dengan setiap keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam kejadian itu.

"Kerajaan negeri akan berusaha dengan sebaik mungkin dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk yang terjejas," katanya.

Walaupun sedang bergelut dengan musibah, beliau mengingatkan orang ramai terutama petugas dan sukarelawan yang membantu di lapangan supaya sentiasa menjaga diri kerana ancaman Covid-19 masih ada.

Berita berkaitan

Tiga maut, tiga lagi masih hilang di Yan

Banjir Yan: Dua sah maut, satu masih hilang

Pekerja Jerai Hill Resort ditemui meninggal dunia

Nampak mayat lelaki tersangkut di pokok pisang depan rumah

Kepala air di Gunung Jerai: Tiga selamat, seorang lagi hilang

Lima kampung terjejas akibat kepala air Gunung Jerai

Tiada pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai

Tiga kategori PPS, asingkan mangsa banjir

Segerakan bantuan kepada mangsa banjir di Yan - Muhyiddin

'Arus mengganas luar biasa'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 1:03 PM