Anggota keselamatan menutup laluan masuk ke Gunung Jerai disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran gunung itu semalam. Foto Luqman Hakim Zubir
Anggota keselamatan menutup laluan masuk ke Gunung Jerai disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran gunung itu semalam. Foto Luqman Hakim Zubir
BERNAMA

Alor Setar: Operasi mencari dan menyelamat tiga mangsa yang dipercayai masih hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air di kawasan Titi Hayun, Yan petang semalam, diteruskan pada 8.30 pagi hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, tiga mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu merupakan antara 22 penduduk di kawasan berkenaan yang terjejas akibat bencana itu.

"Kejadian di Titi Hayun ini membabitkan 22 mangsa iaitu 16 mangsa selamat, dua lagi meninggal dunia, seorang parah manakala tiga lagi masih belum dijumpai," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, seramai 30 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi itu selain turut dibantu pasukan keselamatan lain antaranya polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.17 petang semalam mengenai kejadian banjir di kawasan Titi Hayun itu dan operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan sebaik tiba di lokasi 11 minit kemudian.

Selain itu katanya, pihak bomba juga meneruskan operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang dikhuatiri hilang dalam kejadian sama di Salak Denai iaitu kawasan sekitar Batu Hampar, Yan dengan membabitkan kekuatan 20 anggota bomba.

Sementara itu, Mohamadul Ehsan berkata, seramai 19 kakitangan The Jerai Hill Resort yang terperangkap di puncak Gunung Jerai masih tidak dapat dibawa turun berikutan laluan terhalang akibat tanah runtuh.

Berita berkaitan

Saksi nampak dua penunggang motosikal hanyut depan mata [METROTV]

3 masih hilang, 1 meninggal dan 1 selamat di Titi Hayun

Tiga maut, tiga lagi masih hilang di Yan

Banjir Yan: Dua sah maut, satu masih hilang

Pekerja Jerai Hill Resort ditemui meninggal dunia

Nampak mayat lelaki tersangkut di pokok pisang depan rumah

Kepala air di Gunung Jerai: Tiga selamat, seorang lagi hilang

Lima kampung terjejas akibat kepala air Gunung Jerai

Tiada pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai

Tiga kategori PPS, asingkan mangsa banjir

Segerakan bantuan kepada mangsa banjir di Yan - Muhyiddin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 11:21 AM