DEWAN Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO arkib NSTP
DEWAN Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Beberapa Ahli Parlimen mengesahkan menerima surat untuk mencalonkan Perdana Menteri kesembilan daripada Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, surat itu diterima menerusi emel hari ini.

"Ya saya baru terima surat (untuk mencalonkan Perdana Menteri) menerusi emel hari ini," katanya ketika dihubungi.

Pengesahan sama juga diberikan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dari Parti Pas turut mengesahkan perkara sama.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil juga mengesahkan menerima surat daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

"Saya sahkan," jawabnya ringkas ketika dihubungi.

Semua Ahli Dewan Rakyat diarahkan menyerahkan satu surat akuan menyatakan dengan terang dan jelas calon Perdana Menteri ke-9 pilihan mereka selewat-lewatnya esok.

Dalam satu notis Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyatakan surat akuan itu perlu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Nazim Mohd Alim sebelum jam 4 petang, esok.

Difahamkan sehingga kini, tidak ada seorang pun ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 4:36 PM