Saipul Adli Mohamad dan Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Siapa yang akan dilantik menjadi Perdana Menteri menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati politik.

Beberapa nama seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim antara yang disebut akan diangkat sebagai Perdana Menteri ke-9.

Bagi penganalisis politik Universiti Utara Malaysia UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamad, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mempunyai peluang berdasarkan kedudukannya di dalam parti serta kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Katanya, sokongan yang dimiliki Umno sebelum ini juga memungkinkan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri dan meneruskan jentera pentadbiran kerajaan.

"Saya nampak beliau ada peluang. Pertama dari segi sokongan dan kedudukan serta pengalaman dalam kerajaan.

"Perlu diingat, kita tidak ada masa yang lama sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang, jadi pengalaman Ismail Sabri dalam Kabinet serta pengurusan Covid-19 sangat diperlukan pada masa ini," katanya.

Beliau berkata, sokongan di dalam PN kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang sebelum ini menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu diambil kira.

Ismail Sabri antara calon Perdana Menteri. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Ismail Sabri antara calon Perdana Menteri. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Ditanya mengenai peluang Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, beliau berkata, ahli Parlimen veteran itu juga mempunyai peluang berdasarkan pengalaman.

"Namun dari segi situasi semasa, kedudukan dalam parti dan hubungan dengan kerajaan, saya secara peribadi berpandangan Ismail Sabri lebih sesuai dengan mengambil kira kedudukan di dalam Umno," katanya.

Menurutnya, dari segi kedudukan dalam parti, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berpeluang namun dia mempunyai kes mahkamah yang sedang berjalan.

"Yang ada kes mahkamah ini mungkin kurang sesuai untuk dilantik menjadi Perdana Menteri kerana mungkin timbul isu kepentingan nanti," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, Pakatan Harapan (PH) juga mempunyai peluang dan satu-satunya nama yang dilihat berpotensi ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, sejak awal, PH memberikan sokongan padu kepada Ketua Pembangkang itu dan tidak mustahil Presiden PKR terbabit akan diangkat menjadi Perdana Menteri.

"Dari segi sokongan parti, beliau mendapat sokongan padu daripada PH. DAP sokong, Amanah sokong dan itu antara kriteria terbaik.

"Saya rasa lantikan jawatan Perdana Menteri ini akan mengambil masa sehingga dua minggu lagi kerana Yang di-Pertuan Agong memperkenan Tan Sri Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri, bukannya 'caretaker' kerajaan," katanya.

Anwar Ibrahim antara nama yang disebut diangkat menjadi PM ke-9. FOTO AZIAH AZMEE
Anwar Ibrahim antara nama yang disebut diangkat menjadi PM ke-9. FOTO AZIAH AZMEE

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 3:57 PM