Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju supaya keputusan berhubung isu akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri akan diputuskan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan itu dicapai dalam pertemuan kepemimpinan Bersatu bersama beberapa Ahli Parlimen dari parti itu dan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sini, petang hari ini.

Isu SD bagi menyokong Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera daripada Umno itu dikatakan dibuat Ahli Parlimen PN, jika Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Muhyiddin diberi mandat dan kepercayaan untuk menentukan keputusan terbaik berhubung isu itu.

"Dalam suasana politik, ekonomi dan kesihatan yang amat mencabar sekarang, soal SD itu teknikal.

"Pendeknya, kalau perlu SD...SD lah, kalau ketua parti (Muhyiddin) memaklumkan kepada yang berkuasa (Yang di-Pertuan Agong)... itulah pendirian kita, ini mandat kepada presiden untuk beri pendirian parti jika diminta Agong," katanya.

ISMAIL Sabri dan Muhyiddin.
ISMAIL Sabri dan Muhyiddin.

Turut hadir, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee; Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Radzi Md Jidin; Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Datuk Seri Ronald Kiandee serta Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hadir sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Datuk Zuraida Kamaruddin; Datuk Shabuddin Yahaya dan Datuk Noor Azmi Ghazali serta Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Datuk Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat); Datuk Seri Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat) dan Datuk Seri Mansor Osman (Nibong Tebal); Edmund V Santhara (Segamat); Datuk Ali Biju (Saratok); Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Larry Sng Wei Shien (Julau).

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Bersatu dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai isu SD berkenaan esok, selain menjelaskan pertemuan berkenaan turut membincangkan perihal kelangsungan PN.

Terdahulu, Mohd Redzuan ketika dihubungi menegaskan, beliau secara peribadi tidak akan menyokong pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

"Saya secara prinsipnya tidak akan sokong Ismail Sabri (sebagai Perdana Menteri baharu). Bagaimanapun, saya tak boleh bercakap bagi pihak Bersatu kerana ia akan dibincangkan dalam pertemuan parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 9:14 PM