FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penjawat awam akan terus memberi perkhidmatan berkualiti dan berkesan untuk rakyat serta negara bersandarkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat, penjawat awam akan kekal bebas tanpa dipengaruhi sebarang ideologi politik dalam meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi diraja.

"Perkhidmatan awam adalah tonggak kepada pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara profesional.

"Penjawat awam perlulah bijak mendepani cabaran dan memberi tumpuan kepada pengurusan risiko serta sentiasa di lapangan untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas terutama dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Adnan berkata, CUEPACS menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau dan barisan Jemaah Menteri serta berharap kerajaan baharu akan terus menjalankan amanah serta tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

"Adalah menjadi tanggungjawab untuk memberi keutamaan kepada rakyat dan negara terlebih dahulu daripada kepentingan lain, tidak kira apa jua kerajaan yang memerintah," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas mengumumkan peletakan jawatannya selepas 17 bulan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan, juga 29 Menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataannya memaklumkan Seri Paduka berkenan Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau 'caretaker' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 6:18 PM