GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Anak yatim yang kematian ibu bapa disebabkan Covid-19 akan ditempatkan di rumah kebajikan dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan kewangan termasuk bulanan akan disalurkan jika ada ahli keluarga sanggup untuk menjaga anak yatim kematian ibu bapa disebabkan Covid-19.

"Sejak berlakunya penularan Covid-19 19 mulai Mac tahun lalu, tiada laporan anak pesakit yang meninggal dunia disebabkan wabak itu terbiar dan kita tidak akan sesekali membiarkan mereka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), tiada kes anak pesakit yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 menjadi anak yatim piatu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Chukai berkata, kerajaan negeri dan JKM negeri sentiasa melakukan pemantauan kes Covid-19 terutama membabitkan kematian.

Beliau berkata, anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa disebabkan Covid-19 akan ditawarkan tempat menjalani kehidupan di rumah kebajikan dikendalikan JKM negeri.

Katanya, kerajaan negeri bukan sahaja akan menyalurkan bantuan, malah memberikan kaunseling bagi mengawal emosi kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa disebabkan wabak itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 4:26 PM