Muhammad Yusri Muzamir


Serdang: Mesyuarat Khas Kabinet dijadual diadakan bagi membincangkan kedudukan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) susulan kemelut politik semasa, pada jam 10 pagi esok.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, pada sidang media di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat bagaimanapun enggan mendedahkan perincian lanjut mengenai mesyuarat berkenaan.

Mengulas dapatan mesyuarat Pas Pusat semalam, Mohd Khairuddin berkata, parti Islam itu akan meneliti hasil Mesyuarat Khas Kabinet, sebelum menetapkan sebarang keputusan lanjut.

"Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat bersama Majlis Syura Ulama dan Ahli Parlimen, semalam, menegaskan dasar semasa parti iaitu mempertahankan PN dan memperkukuh Muafakat Nasional (MN).

"Pas kekal menjadi jambatan antara dua parti besar Melayu... Pas dan Umno serta menjadi jambatan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Demi kebaikan negara dan politik bagi jangka panjang, parti besar Melayu mesti bersama sebab ia tonggak kepada kerajaan, disusuli parti lain yang mempunyai kepelbagaian kaum," katanya juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.

Ditanya kaedah untuk memperkukuh MN ekoran pertelingkahan Umno dan Bersatu, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, ia adalah kerja dalaman Pas yang tak boleh didedahkan kepada umum.

"Ia adalah strategi dalaman Pas dan kita sentiasa berusaha untuk wujudkan muafakat antara parti ini, selain mengingatkan mereka supaya tidak bertelingkah kerana akhirnya akan gagal serta hilang kekuatan, bukan hanya dalam lingkungan parti tetapi negara juga.

"Negara tak akan untung kalau berlaku pertelingkahan panjang sebab kini kita berdepan pandemik dan perlu bersatu padu, ketepikan perbezaan pendapat politik serta fokus kepada Covid-19. Ini kerja yang perlu kita buat.

"Bayangkan di kala rakyat dan semua petugas sedang bergerak laju melawan Covid-19 tetapi ada pihak tertentu menggugat kestabilan politik negara, bukan pada waktunya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas berkata, parti itu sentiasa menjadi pihak pendamai antara Umno dan Bersatu.

"Sebab inilah Pas tak pernah serang Umno atau parti lain dalam PN. Hanya sedikit cubit-cubit sayang terhadap Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) baru-baru ini, yang menggerakkan usaha menarik sokongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 2:49 PM
DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyaksikan penyerahan sumbangan oleh Nurul Islam Mohamed Yusoff (kiri) kepada Dr Shahabuddin Ibrahim (kanan) di PKRC MAEPS. FOTO Fariz Iswadi Ismail
DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyaksikan penyerahan sumbangan oleh Nurul Islam Mohamed Yusoff (kiri) kepada Dr Shahabuddin Ibrahim (kanan) di PKRC MAEPS. FOTO Fariz Iswadi Ismail