Baharom Bakar


Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang melakukan siasatan berhubung laporan penjualan alat pengukur kadar oksigen atau oximeter palsu di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan akan dikenakan terhadap syarikat yang menjual oximeter palsu.

"Jika kita dapati harga oximeter dijual melampau, kita akan mengambil tindakan di bawah Akta Pencatutan Harga.

"Kita akan melakukan siasatan walaupun belum menerima aduan rasmi daripada pemilik cap dagang peralatan berkenaan," katanya.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang bersama petugas barisan hadapan dan penerima vaksin di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanggol di sini, hari ini.

Dalam pada itu, KPDNHEP turut akan membantu menyiasat penjualan Sijil Digital Vaksin palsu walaupun bukan bidang kuasa kementerian itu.

"KPDNHEP akan membantu melakukan siasatan jika menerima aduan dan laporan hasil siasatan akan diserahkan bagi memudahkan tindakan dilakukan oleh agensi kerajaan yang terbabit.

"Kita ada menerima laporan mengenai terdapat individu tertentu menjual sijil digital vaksin palsu, termasuk melalui laman sosial.

"Sijil digital vaksin palsu diakui mendapat permintaan daripada mereka yang culas untuk divaksinasi, terutama apabila kerajaan memberi beberapa kelonggaran termasuk kebenaran rentas negeri serta makan di restoran," katanya.

Rabu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan mengenai penjualan sijil vaksinasi dalam bentuk kad fizikal secara dalam talian di utara tanah air.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata pihaknya menerima satu laporan membabitkan penjualan sijil digital vaksin palsu selepas satu artikel dimuat naik seorang pengguna Facebook (FB) yang mendakwa wujud penjualan sijil berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 3:38 PM
DATUK Rosol Wahid menyampaikan jalur gemilang kepada warga emas yang menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksian  (PPV) Sekolah Kebangsaan Tanggol. FOTO GHAZALI KORI
DATUK Rosol Wahid menyampaikan jalur gemilang kepada warga emas yang menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksian (PPV) Sekolah Kebangsaan Tanggol. FOTO GHAZALI KORI