MASYARAKAT Orang Asli selesai menerima suntikan pertama vaksin di Dewan Alamanda, Majlis Perbandaran Jasin. FOTO NURALIAWATI SABRI
MASYARAKAT Orang Asli selesai menerima suntikan pertama vaksin di Dewan Alamanda, Majlis Perbandaran Jasin. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Jasin: "Kalaulah tidak mudah percaya cakap-cakap kosong mengenai vaksin tentunya saya sudah lengkap menerima dua dos.

"Bila dengar macam- macam saya jadi takut untuk ambil tetapi hari ini bila laluinya langsung tidak sakit malah sekejap sahaja sudah selesai," itu kata warga emas Orang Asli Dolah Rochok.

Dolah, 60, dari suku Temuan antara 44 Orang Asli dari daerah Jasin yang bersetuju menerima vaksin dos pertama, hari ini.

Bapa kepada lima anak itu berkata, sepatutnya dia menerima dos pertama vaksin pada pertengahan Julai lalu namun menolaknya kerana takut serta terpengaruh dengan cerita tidak benar.

"Selepas dipujuk oleh anak-anak dan mereka memberitahu vaksin dapat mencegah daripada jangkitan Covid-19 akhirnya saya setuju untuk menerimanya.

"Anak pun ada cakap kalau tidak suntik vaksin payah untuk ke mana- mana dan saya terfikir juga perkara itu ada betulnya," katanya ketika ditemui di Dewan Alamanda, Majlis Perbandaran Jasin, di sini, hari ini.

Sementara itu, Malini Latif, 23, berkata, dia pada awalnya juga terpengaruh dengan berita dan fakta tidak benar mengenai vaksin yang dibaca di media sosial sehingga enggan menerima suntikan.

"Bila terbaca berita seperti itu saya jadi takut tetapi selepas melihat mereka yang sudah menerima vaksin termasuk suami sendiri tiada apa- apa dan sihat, saya mula sedar.

"Sebenarnya vaksin sangat penting untuk lindungi diri kita, apatah lagi ada anak kecil seperti saya. Kalau saya tidak lindung diri ia secara tidak langsung mendedahkan anak kepada bahaya," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Alor Gajah/ Jasin Adzrien Ab Rahim berkata, sehingga kini program vaksinasi di Jasin sudah mencapai hampir 70 peratus.

"Jumlah keseluruhan yang layak adalah seramai 535 orang dan daripada jumlah itu 374 individu sudah lengkap dua dos suntikan.

"Hari ini pula seramai 44 menerima dos pertama mereka. Sambutan dalam kalangan Orang Asli kini memberangsangkanapabila mereka mula yakin walaupun pada mulanya risau akan kesan vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 12:28 PM