GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pusat Racun Negara menerima beberapa kes keracunan akibat penggunaan pil Ivermectin dengan pengambilan dos kendiri.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan, kes pertama membabitkan pengguna berusia 35 tahun yang mengambil sebiji pil Ivermectin.

"Akibatnya, pengguna berkenaan mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan.

"Kes kedua pula membabitkan seorang warga emas dijumpai tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji Ivermectin sekaligus.

"Setakat ini, Ivermectin belum lagi diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan Covid-19 di Malaysia," katanya.

Menurutnya, terdapat aktiviti penjualan ubat ini secara tidak sah sedang berlaku.

"Pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan.

"Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut, dan pening.,"katanya.

Katanya, kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru, dan kematian.

Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini.

"Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 12:23 PM