FOTO HIASAN. FOTO Arkib NSTP
FOTO HIASAN. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan terus melaksanakan sekatan perjalanan antara daerah berikutan jumlah kes harian Covid-19 yang meningkat dengan mendadak di negeri ini, sejak beberapa minggu lepas.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, walaupun usaha yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa seperti mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti yang terjejas, jumlah kes di negeri ini terus meningkat.

"Oleh itu, sekatan jalan raya (SJR) akan terus dilaksanakan kerana merentas daerah masih tidak dibenarkan. Orang ramai harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran beberapa SOP di negeri di bawah Pelan Pemulihan Nasional (PPN) Fasa Kedua termasuk kebenaran merentas daerah untuk individu yang sudah lengkap dua dos vaksin.

Bagaimanapun, SOP PPN Fasa Kedua di Sabah yang dikemas kini pada 12 Ogos lepas menyatakan bahawa sekatan perjalanan antara daerah masih dilaksanakan kecuali untuk kes kecemasan, kerja (disokong oleh surat dari majikan), janji temu vaksinasi COVID-19 dan individu yang bekerja dalam sektor perkhidmatan perlu.

SOP yang dikemas kini untuk Sabah juga menyatakan bahawa kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperlukan untuk pergerakan merentas daerah bagi kes kecemasan, pasangan suami isteri di dua daerah yang berbeza dan ibu bapa yang ingin berjumpa anak yang berumur di bawah 18 tahun.

Selain itu, Hajiji turut berkata Sabah bakal menerima 200,000 dos vaksin CanSino pada minggu depan,

Setakat ini, 1,227,628 atau 44.5 peratus penduduk Sabah berusia di atas 18 tahun sudah menerima dos vaksin pertama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 8:12 AM