GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang berkeyakinan 100 peratus populasi dewasa di negeri itu akan selesai menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 menjelang minggu pertama September ini atau lebih awal.

Ia berdasarkan kadar vaksinasi harian semakin tinggi di negeri itu apabila mencatatkan pemberian 35,688 dos sehari setakat semalam iaitu rekod pencapaian tertinggi sehingga kini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, rekod itu meletakkan keyakinan bahawa Pulau Pinang berada di landasan yang betul bagi mencapai matlamat ditetapkan.

"Matlamat kita adalah 100 peratus populasi dewasa menerima suntikan dos pertama menjelang minggu pertama bulan depan atau pada tempoh lebih awal selepas melihat kadar vaksinasi," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) setakat semalam menunjukkan populasi dewasa negeri itu yang menerima suntikan pertama adalah sebanyak 67.6 peratus manakala 33.1 peratus sudah melengkapkan kedua-dua dos.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang hanya akan membenarkan pengusaha restoran dan pekerja perlu menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin sebelum dibenarkan beroperasi.

"Perkara ini dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) pagi tadi dan bersetuju Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pulau Pinang membawa pendirian negeri ini ke peringkat Pusat," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, bagi mendepani peningkatan kes harian Covid-19, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sudah membuat pelan penyusunan kemudahan perubatan.

"Penyusunan itu termasuk penambahan katil untuk pesakit Covid-19 di mana Kompleks Masyarakat Penyayang, di sini, bakal dijadikan Pusat Rawatan Risiko Tinggi (PRRT) dengan penempatan 100 buah katil bagi pesakit Kategori 3 dan Kategori 4.

"JKNPP juga memberi jaminan bekalan tangki oksigen mencukupi bagi keperluan pesakit dan setiap isi rumah adalah digalakkan untuk memiliki 'pulse oximeter' yang dapat dibeli secara dalam talian dan juga farmasi-farmasi terdekat.

"Pada masa sama, sistem pengesanan kontak akan ditambah baik dan ditingkatkan bagi memastikan rantaian perebakan dapat diputuskan pada kadar sesegera mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 7:12 PM