PENGUAT kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas sebuah stor di Taman Limau Manis. FOTO Ihsan KPDNHEP Pulau Pinang
PENGUAT kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas sebuah stor di Taman Limau Manis. FOTO Ihsan KPDNHEP Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) dalam serbuan di Taman Limau Manis, di sini, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari itu, penguat kuasa KPDNHEP merampas 2.4 metrik tan minyak masak dan empat metrik tan minyak diesel dianggarkan bernilai RM28,000 termasuk sebuah lori.

Pengarah KPDNHEP negeri Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai memotong plastik minyak masak bersubsidi satu kg sebelum memindahkan ke tangki fiber.

"Serbuan ke atas stor itu dijalankan selepas pihak kita menjalankan risikan selama sebulan berikutan mendapat aduan dari orang ramai.

"Dalam serbuan berkenaan, selain mengesan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi, kita turut menemui minyak diesel yang dipercayai tidak mempunyai lesen atau permit yang sah.

"Berikutan itu, pasukan serbuan telah membuat tangkapan ke atas ketiga-tiga individu yang berada di premis terbabit untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, malam ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua atau seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta untuk kesalahan kedua dan seterusnya," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, KPDNHEP ingin mengingatkan kepada mana-mana peniaga yang menjual atau menggunakan barang kawalan berjadual supaya memohon lesen atau permit kebenaran serta mematuhi perundangan yang ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 11:28 PM