Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang menasihati orang ramai supaya tidak terjebak dengan pembelian sijil digital vaksinasi Covid-19 palsu bagi menikmati kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) menerusi fasa dua, Pelan Pemulihan Negara kepada individu yang sudah menerima dos lengkap.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata, setakat ini tiada laporan mengenai penjualan sijil digital vaksinasi palsu itu di Pulau Pinang.

"Setakat ini belum jumpa (individu) yang pakai sijil digital vaksinasi palsu, jadi jangan ambil pendekatan dan kesempatan kerana kes di Pulau Pinang juga sudah meningkat.

"Kasihanlah kepada orang lain kerana perbuatan itu boleh menyebabkan peningkatan kes justeru, kita seru supaya jangan lakukan kaedah bayar bagi mendapatkan sijil palsu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lanjut Fisol berkata, tujuan pihaknya mengarahkan pengguna jalan raya mempamerkan tangkap layar sijil digital vaksinasi ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) adalah bagi mengelakkan kesesakan.

"Orang ramai yang sudah lengkap dos vaksin Covid-19 disaran menyediakan tangkap layar sijil digital menerusi MySejahtera dalam telefon bimbit masing-masing bagi melancarkan perjalanan ketika melalui SJR di negeri ini," katanya.

Terdahulu kerajaan mengumumkan beberapa kelonggaran menerusi Fasa 2 PPN itu bermula 10 Ogos membabitkan negeri Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 4:59 PM