GAMBAR fail, 22 Mei 2021. FOTO Facebook Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah
GAMBAR fail, 22 Mei 2021. FOTO Facebook Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri menjangkakan penurunan kes Covid-19 bagi kategori tiga dan empat menjelang akhir bulan ini berikutan peningkatan jumlah penerima vaksin di Selangor.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejumlah 5,761,304 dos vaksin sudah diagihkan kepada rakyat Selangor melalui pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini menerusi Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Negeri Selangor (Pick) dan program Selangor Vaksin (SelVAX) sehingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, 3,665,093 orang sudah menerima dos vaksin pertama bersamaan 77.17 peratus manakala 2,096,211 (44.14 peratus) lagi sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

"Kita jangkakan menjelang akhir Ogos dan (awal) September ini kita akan mendapat hasil dari program vaksinasi iaitu penurunan kes bagi kategori tiga dan empat (dengan peningkatan kadar vaksinasi di Selangor ketika ini).

"Ia sekali gus mengurangkan tekanan kepada hospital dan kita turut yakin bahawa kita berada di laluan yang betul menuju ke arah imuniti kelompok atau fasa peralihan seterusnya," katanya pada sidang media secara atas talian, hari ini.

Beliau berkata, jumlah penerima vaksinasi mengikut data berkenaan hanya membabitkan rakyat negeri ini yang menerima vaksin di Selangor sahaja dan bukan mereka yang mengambil vaksinasi di luar negeri ini, terutama di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Amirudin turut menjelaskan isu pengecualian bayaran bagi jenazah Islam yang meninggal akibat Covid-19 hanya membabitkan inisiatif kerajaan negeri menerusi usaha Pengurusan Jenazah Covid-19 Bersepadu yang dijalankan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Katanya, bagi pengurusan mayat pesakit Covid-19 bukan Islam, beliau ada menerima laporan mengenai kos yang tinggi dikenakan terhadap waris dan perbincangan sudah dilakukan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam bersama Exco Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nor Azmie Diron.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 4:25 PM