GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk membeli sendiri vaksin Covid-19 sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku gangguan bekalan vaksin yang boleh menjejaskan usaha mencapai imuniti kelompok secepat mungkin di negeri ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata langkah itu juga bagi menampung kekurangan yang dijangka berlaku berikutan sumber sahih mengatakan bekalan vaksin Pfizer mungkin mengalami gangguan pengeluaran yang memberi kesan kepada negara yang menggunakan vaksin itu, termasuk Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri akan meminta syarikat milik kerajaan (GLC) untuk menggunakan sebahagian daripada keuntungan perniagaan bagi membeli vaksin untuk kakitangan dan pekerja mereka, manakala selebihnya didermakan secara percuma kepada rakyat yang layak.

"Kerajaan negeri melalui GLC bersedia membeli vaksin sekiranya berlaku kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperoleh vaksin dengan kadar segera. Perbelanjaan pembelian vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazim dibayar oleh GLC kepada kerajaan negeri setiap tahun," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Isu peningkatan mendadak kes Covid-19 dan program vaksinasi dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri hari ini termasuk mendengar cadangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenai langkah menangani situasi berkenaan.

Masidi berkata, syarikat swasta khususnya syarikat perladangan besar juga digalak melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk kebajikan pekerja masing-masing dengan membeli vaksin untuk kegunaan pekerja mereka sendiri tanpa menunggu vaksin percuma yang diberi oleh kerajaan.

"Kita sedia maklum bahawa sebahagian besar iaitu 80 peratus daripada pekerja ladang adalah rakyat asing. Program amal ini atau CSR akan membantu mempercepatkan imunisasi kepada seluruh penduduk dewasa di Sabah, tidak kira warga negara atau bukan.

"Kerajaan negeri bersedia menimbangkan untuk membenarkan ladang besar yang berjaya memberi vaksin kepada 100 peratus pekerja mereka, termasuk keluarga, beroperasi semula dengan kapasiti tenaga kerja penuh atau 100 peratus," katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata syarikat yang berhasrat membeli sendiri vaksin untuk pekerja mereka boleh menghubungi GLC negeri, Qhazanah Sabah.

Katanya syarikat milik kerajaan negeri itu dilantik oleh Pharmaniaga Bhd yang mempunyai kilang mengeluarkan sehingga empat juta dos vaksin Sinovac sebulan sebagai wakil penjualan vaksin itu di Sabah kerana mempunyai kemudahan penyimpanan di sini.

"Kerajaan negeri menjamin pemberian vaksin secara percuma kepada semua penduduk Sabah. Cadangan menggalakkan syarikat besar untuk menderma vaksin kepada pekerja mereka adalah untuk mempercepatkan usaha kita agar Sabah mencapai imuniti kelompok dan dalam masa yang sama membolehkan syarikat terbabit beroperasi sepenuhnya apabila semua pekerjanya lengkap diberi vaksin," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri berpuas hati dengan kadar pemberian vaksin harian yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama pelbagai agensi yang sehingga semalam berjaya menyuntik dos pertama vaksin kepada 42 peratus penduduk Sabah, manakala 18.1 peratus lengkap dua dos.

Bagaimanapun, katanya Kabinet negeri menyedari pencapaian pemberian vaksin di setiap daerah berbeza berikutan ada daerah seperti Beaufort mencatat lebih 50 peratus penduduk lengkap dua dos vaksin, manakala daerah lain masih ketinggalan dengan ada antaranya mencatat kurang 12 peratus imuniti kelompok.

"Kabinet negeri sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri menyiasat punca prestasi imunisasi yang rendah ini dan mengambil tindakan segera untuk memperbaikinya. Presiden Majlis Perbandaran, Pengerusi Lembaga Bandaran dan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) juga diarah melaksanakan gerakan imunisasi untuk mencapai imuniti berkelompok.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 9:07 PM