MASJID Al-Amin, Kampung Semop di Daro musnah dalam kebakaran petang tadi. FOTO Ihsan Pembaca
MASJID Al-Amin, Kampung Semop di Daro musnah dalam kebakaran petang tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Roji Kawi


Kuching: Masjid Al-Amin di Kampung Semop, di Pulau Bruit, Daro musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.41 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Bagaimanapun, bomba terpaksa menempuh perjalanan jauh termasuk menaiki feri kerana lokasi kejadian itu terletak di Pulau Bruit.

"Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran sudah memusnahkan keseluruhan masjid berstruktur separuh kekal itu," katanya.

Menurutnya lagi, kebakaran itu dipadam oleh penduduk kampung dengan bantuan lori tangki air dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Daro.

"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol berkata, beliau menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.30 petang tadi.

"Saya belum menerima maklumat lengkap berhubung punca kejadian itu dan akan ke sana (Pulau Bruit) esok," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 8:24 PM