Sebahagian pekerja asing dari pelbagai sektor industri menunggu dan beratur untuk menerima suntikan vaksin. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sebahagian pekerja asing dari pelbagai sektor industri menunggu dan beratur untuk menerima suntikan vaksin. FOTO AIZUDDIN SAAD
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pihak penguat kuasa memastikan keadaan pekerja asing bersesak-sesak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Rumah Prihatin Hotel Grand Season dan PPV Bukit Jalil yang tular di media sosial, hari ini tidak berulang lagi.

Ismail Sabri berkata, beliau sendiri terkejut apabila melihat video tular terbabit hari ini yang penuh berpusu-pusu sehingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) .

"Saya harap pihak penguat kuasa dapat memastikan keadaan pekerja asing bersesak-sesak seperti ini tidak berulang lagi kerana ia boleh menyebabkan penularan wabak.

"Saya akan menghubungi kementerian yang berkaitan serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kejadian ini dapat ditangani segera," katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi selama tujuh minit 15 saat yang menunjukkan kesesakan orang ramai di PPV terbabit.

Menurutnya, dalam hal ini, polis Dang Wangi mengambil tindakan segera dengan mengarahkan pasukan pematuhan ke pusat terbabit bagi mengawal keadaan.

"Hebahan dibuat kepada orang ramai yang hadir supaya membuat penjarakan sosial dan memakai pelitup muka sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pasukan pematuhan berjaya mengawal keadaan sehingga program vaksinasi selesai," katanya.

Noor Dellhan berkata, pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang dikeluarkan MKN.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perlanggaran SOP ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 7:08 PM