PENDUDUK berdepan banjir najis setiap kali hujan lebat. FOTO Mary Victoria Dass
PENDUDUK berdepan banjir najis setiap kali hujan lebat. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kira-kira 200 penduduk di Jalan Kemboja, Kampung Dato' Sulaiman Menteri di sini kecewa apabila terpaksa berdepan banjir najis setiap kali hujan lebat melanda kawasan berkenaan.

Penduduk, Abdul Afiq Ismail, 27, berkata, banjir berkenaan berpunca sistem saliran tersumbat sejak pengubahsuaian struktur bangunan dilakukan di deretan kedai di hadapan kediaman penduduk.

Menurutnya, pengubahsuaian dipercayai dilakukan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan itu termasuk membabitkan penambahan struktur premis di atas parit berkenaan hingga menyekat saliran air di kawasan berkenaan.

Katanya, beberapa premis juga didapati menyalurkan air kumbahan terus ke longkang.

"Terbaharu dua kali banjir kilat yang berlaku dalam tempoh seminggu lalu.

"Lebih menjijikkan, air banjir itu bercampur air kumbahan hingga ia meloyakan selain dikhuatiri menjejaskan kesihatan," katanya.

Sementara itu, penduduk Suriani Osman, 59, berkata Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) perlu mengambil tindakan bagi mengatasi masalah banjir kilat itu.

Menurutnya, pengalaman diancam banjir najis menimbulkan tekanan kepada penduduk yang sudah tinggal di kawasan berkenaan melebihi 40 tahun.

"Banjir kilat ini luar biasa kerana bercampur air kumbahan dan ia turut mengakibatkan keluarga saya menanggung kerugian apabila barangan elektrik rosak.

"Tambahan pula, kerja membersihkan kesan banjir juga memakan masa dan menimbulkan kesulitan terutama dalam kalangan penghuni yang terdiri daripada warga emas.

"Kami berharap sistem saliran di kawasan perumahan ini juga diselenggara dengan baik demi keselesaan penduduk," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MBJB, Abd Jalil Tasliman berkata, pihaknya akan mengambil tindakan bagi mengatasi permasalahan berkenaan.

"Kita akan keluarkan notis kepada pemilik untuk meroboh ruangan tertentu," katanya ketika dihubungi.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 4:01 PM