Dr Noor Hisham ketika melawat Hospital Jempol. FOTO ihsan FB Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham ketika melawat Hospital Jempol. FOTO ihsan FB Dr Noor Hisham Abdullah
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Secara keseluruhan sejak 23 Mei 2021 sehingga 9 Ogos 2021, Hospital Jempol sudah merawat 1,995 pesakit Covid-19 kategori 1 hingga 5 yang dirujuk dari pelbagai daerah di Negeri Sembilan dan juga daerah Bera, Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, majoriti kes yang diterima adalah pesakit bergejala ringan iaitu kategori 2 (36 peratus) namun memerlukan pemerhatian rapi di hospital kerana berisiko tinggi contohnya warga emas dengan pelbagai penyakit lain.

Katanya, ini diikuti dengan pesakit dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen iaitu kategori 4 (25 peratus) dan pesakit dengan radang paru-paru iaitu kategori 3 (19 peratus).

"Setakat ini 4 peratus kes adalah dari kategori 5 iaitu kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan ventilator.

"Kesiapsiagaan sedang dan sudah dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan dengan kerjasama kerajaan negeri serta pelbagai agensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Semoga segala usaha kita semua akan dapat membendung penularan jangkitan virus ini. Let's fight the virus together as one," katanya menerusi Facebook (FB) lewat malam tadi.

Dr Noor Hisham berkata, beliau berkesempatan melakukan lawatan kerja ke Hospital Jempol itu semalam sebaik sahaja selesai menyertai program Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Felda Raja Alias, Jempol, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, katanya, Hospital Jempol adalah hospital daerah tanpa pakar yang mula beroperasi sejak Disember 2005 dengan kapasti 104 katil wad dan empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Melalui inisiatif kluster hospital di mana Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah bertindak sebagai 'lead hospital', Hospital Jempol sejak 2016 sudah mula memberikan secara berperingkat perkhidmatan kepakaran bagi kecemasan dan trauma, perubatan, oftalmologi, ortopedik, pembedahan dan pergigian pediatrik.

"Susulan daripada peningkatan kes Covid-19 di Negeri Sembilan, mulai 23 Mei 2021, Hospital Jempol dijadikan sebagai hospital hibrid iaitu merawat pesakit bukan Covid-19 dan pesakit Covid-19.

"Namun dengan keperluan semasa katil yang mendesak di Negeri Sembilan, Hospital Jempol dijadikan hospital 'fully Covid-19' bermula 7 Jun 2021 dengan 250 katil disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 2:26 PM