LOKASI kejadian pergaduhan dua jiran yang membawa kematian seorang daripada mereka di Beruas, Manjung. FOTO Ihsan pembaca
LOKASI kejadian pergaduhan dua jiran yang membawa kematian seorang daripada mereka di Beruas, Manjung. FOTO Ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Lelaki yang dipercayai menetak jirannya hingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Sitiawan-Beruas, Beruas, di sini, kelmarin dikatakan tidak menyukai anak lelaki mangsa datang ke rumahnya.

Dalam kejadian pada 5 petang itu, mangsa berusia 40-an ditetak dengan parang di kepala dan kaki oleh suspek lelaki berusia 40-an.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek dipercayai menampar anak lelaki mangsa kerana tidak suka kanak-kanak itu datang ke rumahnya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu juga pernah bergaduh sebelum ini.

"Suspek dikatakan tidak suka anak lelaki mangsa berusia 10 tahun datang ke rumahnya bermain dengan anaknya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Nor Omar berkata, bedah siasat punca kematian mangsa akan dilakukan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, petang ini.

"Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah termasuk kes dadah, namun saringan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, pergaduhan antara dua jiran berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut akibat ditetak.

Sebelum kejadian, suspek didakwa menampar anak mangsa menyebabkan bapanya datang untuk berbincang dengan lelaki berkenaan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 1:53 PM