KAKITANGAN Majlis Daerah Tanjung Malim tekun memasang jalur gemilang pada tiang di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat Slim River. FOTO Rosman Shamsudin
KAKITANGAN Majlis Daerah Tanjung Malim tekun memasang jalur gemilang pada tiang di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, dekat Slim River. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin

Tanjung Malim: Pemasangan Jalur Gemilang di Pekan Slim River terutama di Jalan Ipoh-Kuala Lumpur mampu menyemarakkan semangat untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Setiausaha Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) Roslan Kamaruzaman berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan memasang Jalur Gemilang di jalan utama dan kawasan tumpuan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Katanya, usaha berkenaan diharapkan mampu memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan terutama di daerah Muallim.

"Kita juga menggalakkan pemilik premis perniagaan dan penduduk agar memasang Jalur Gemilang di premis dan kediaman masing-masing.

"Semangat cintakan negara haruslah diterjemahkan dalam kehidupan supaya jiwa patriotisme tetap utuh dalam kalangan rakyat negara ini," katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Slim Permata, Intan Efazila Md Yusop, 41, berkata Jalur Gemilang yang dipasang MDTM di jalan utama daerah ini mampu meniupkan lagi semangat cintakan negara.

Katanya, usaha PBT itu harus dicontohi dan diikuti oleh penduduk di daerah ini agar turut memasang Jalur Gemilang di premis perniagaan dan kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 3:57 PM