Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Lenggong: Pelanggan di kedai makan mempunyai hak meminta pekerja mahupun pemilik kedai makan mempamerkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) lengkap susulan kebenaran makan di kedai (dine-in) bagi negeri fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung keperluan operator premis atau kedai makan mempamerkan sijil terbabit.

Menurutnya, pastinya kerajaan akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk mereka menjalankan perniagaan.

"Boleh minta lihat aplikasi MySejahtera mereka sama ada sudah menerima suntikan vaksin pertama atau kedua. Kita sebagai pelanggan mempunyai hak berbuat demikian termasuk kepada penguasaha kedai.

"Kita boleh bertanya kepada mereka jika kita masih ragu-ragu," katanya dalam sidang media sempena lawatan kerjanya ke Dewan Merdeka Lenggong, di sini, hari ini.

Katanya, kebenaran makan di kedai tidak seharusnya menjadikan rakyat lupa bagi menitik beratkan penjagaan SOP dan perlu mengambil iktibar daripada situasi berlaku di Singapura.

"Di Singapura, dahulunya bilangan kes positif Covid-19 sudah turun jadi mereka dibenarkan untuk 'dine-in'. Namun selepas itu kes kembali naik dan sekarang Singapura sudah tutup semula aktiviti itu.

"Antara suka dan risau, itu yang boleh saya katakan susulan kelonggaran 'dine-in' yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksinasi. Suka sebab sudah lama rakyat menanti untuk makan di kedai, dalam pada masa sama, risaukan angka kes positif Covid-19 meningkat.

"Jadi diharapkan rakyat serius dan berdisiplin dengan benar-benar mengambil berat mengenai ini. Kalau nak makan di kedai, jangan lama-lama dan jangan bawa bersama orang tua, dan kanak-kanak selain pastikan diri benar-benar sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 5:43 PM
Dr Noor Azmi (kanan) beramah mesra bersama penerima vaksin  ketika hadir lawatan kerja di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) di Dewan Merdeka, Lenggong. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Dr Noor Azmi (kanan) beramah mesra bersama penerima vaksin ketika hadir lawatan kerja di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) di Dewan Merdeka, Lenggong. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM