GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kibaran Jalur Gemilang bukan ukuran semangat patriotik dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19.

Malah, ia dianggap ujian semangat patriotisme rakyat Malaysia berkorban dengan cara duduk di rumah bagi menghapuskan wabak itu dari negara ini.

Jika sebelum ini, kibaran Jalur Gemilang memenuhi jalan, kereta dan rumah sebaik memasuki bulan Ogos, namun pemandangan itu tidak lagi dapat dilihat kini.

Rata-rata orang ramai kini bergelut dengan isu kesihatan, keselamatan, mental dan 'poket' bagi meneruskan kehidupan.

Profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Zaid Ahmad berkata, dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19 sambutan bulan Kemerdekaan juga perlu dibuat dalam keadaan norma baharu.

"Norma baharu ini adalah duduk di rumah, ini satu perkara orang terpaksa buat, dengan berada di rumah dan tidak berinteraksi dengan dunia luar.

"Dalam hal petunjuk berjaya atau tidak kempen Kibar Jalur Gemilang, perlu dibuat melalui media elektronik dan sosial saja.

"Tidak capai matlamat jika kita letakkan bendera di 'billboard' atau memenuhi jalan raya, kerana orang tak tengok sebab tidak keluar rumah," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, katanya, pandemik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melupakan tanggal 31 Ogos, hari penting buat Malaysia.

"Namun, untuk meraikan seperti tahun sebelumnya, tidak sesuai dalam keadaan kita masih bersedih akibat peningkatan jumlah kematian Covid-19.

"Kita juga boleh mengaitkan kecintaan negara dengan apa yang dihadapi sekarang iaitu nilai patriotik ini perlu disalurkan dalam konteks melawan pandemik," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di ibu kota menunjukkan masih belum terdapat kibaran Jalur Gemilang sama ada di tepi jalan, kereta persendirian dan bangunan.

Pekerja swasta, Syafiq Azman, 31, berkata, sambutan Kemerdekaan tahun ini perlu bertemakan berkorban melawan pandemik.

"Hampir dua tahun kita berjuang melawan pandemik ini, dan tahun ini juga kita terpaksa melupakan sambutan Kemerdekaan selepas peningkatan kes mendadak terutama di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Tidak mengibarkan Jalur Gemilang bukan bermakna kita tidak cinta kepada negara, namun eloklah erti 'pengorbanan' dan 'perjuangan' sebenar diterjemahkan dengan melawan Covid-19 ini," katanya.

Bagi bekas pesara kerajaan, Adnan Kassim, 67, rakyat Malaysia tidak dapat meraikan Kemerdekaan dalam kegembiraan kerana bergelut dengan isu kelangsungan hidup dan kesihatan.

"Anggaplah tahun ini kita berkorban untuk negara melawan pandemik dengan duduk di rumah, tiada makna jika kita meraikan Kemerdekaan tetapi sistem kesihatan kita hampir lumpuh kerana pandemik ini.

"Ini juga semangat kecintaan kepada negara dengan tinggal di rumah dan patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 3:39 PM