Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang penolong jurutera Majlis Daerah Kuala Selangor (kini Majlis Perbandaran Kuala Selangor) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM5,000 sebagai balasan bagi kerja membaik pulih, Januari tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Azmunir Ahmad, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurul Azmunir sebagai penolong jurutera Gred JA29 Majlis Daerah Kuala Selangor (kini Majlis Perbandaran Kuala Selangor) didakwa menerima bagi dirinya suatu barangan berharga iaitu wang tunai sebanyak RM5,000 dengan tiada balasan daripada seorang lelaki berusia 46 tahun yang mana dia mengetahui bahawa ia mempunyai hubungan dengan tugas rasminya di MPKS.

Tertuduh didakwa memberikan nilai anggaran jabatan bagi sebut harga yang bertajuk 'Kerja-Kerja Membaikpulih Catwalk (Laluan Bersimen) serta Kerja-Kerja Berkaitan Di Kampung Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang, Kuala Selangor Di Bawah Projek-Projek Kecil Kampung Baru/Bagan/Tersusun Negeri Selangor'.

Justeru, Nurul Azmunir yang masih bertugas di MPKS itu dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

NURUL Azmunir (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima suapan RM5,000 sebagai balasan bagi kerja-kerja membaik pulih, Januari tahun lalu. FOTO Faiz Anuar
NURUL Azmunir (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima suapan RM5,000 sebagai balasan bagi kerja-kerja membaik pulih, Januari tahun lalu. FOTO Faiz Anuar

Dia didakwa melakukan kesalahan itu Taman Kuala Selangor Utama sekitar jam 5 petang hingga 7 malam pada 15 Januari 2020.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM10,000 bersama penjamin warganegara dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh pula diwakili peguam Hamdan Hamzah bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dengan syarat tambahan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 13 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 2:05 PM