FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya akan teruskan berjuang membantu orang ramai walaupun Facebook disekat.

"Buat masa ini saya menggunakan medium media sosial lain untuk berkomunikasi dengan sukarelawan di seluruh negara. Ujian ini tidak mematahkan saya untuk membantu mereka yang terkesan ketika Covid-19 ini," kata Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi.

Akaun Facebook miliknya disekat sejak Jumaat lalu tanpa sebab yang tidak diketahui.

Katanya, dia sendiri tidak pasti mengapa akaun itu disekat kerana selama ini ia digunakan untuk berkongsi program dan aktiviti Semboyan di seluruh negara.

"Setahu saya tidak ada sebarang kandungan yang salah di sini undang-undang yang dimuat naik.

"Tetapi saya reda dengan apa yang berlaku, program Semboyan akan diteruskan seperti biasa. Cuma saya berharap akaun Facebook itu dapat diakses kembali kerana ia adalah medium silaturahim saya bersama lebih 1.3 juta pengikut," katanya ketika dihubungi.

Yusuf berkata, setakat ini pihaknya memberi tumpuan kepada bantuan bakul makanan termasuk di Lembah Klang dengan bantuan sukarelawan Semboyan.

Menurutnya, dia terpanggil untuk mengaktifkan bantuan itu selepas mendapat makluman mengenai jumlah yang terjejas akibat Covid-19 yang semakin meningkat.

"Menerusi lebih 5,000 sukarelawan di seluruh negara, Semboyan bergerak mengikut negeri, daerah dan zon untuk menyantuni mereka yang terjejas.

"Alhamdulillah, dengan sokongan pelbagai pihak, kita berjaya membantu banyak keluarga setakat ini.

"Insya-Allah kita akan teruskan. Seperti yang selalu saya katakan, kita semua adalah bersaudara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 12:50 PM