Sebahagian guni disyaki berisi daun ketum dan motosikal yang dirampas PGA di Felda Mata Ayer, Padang Besar. Foto Ihsan PGA
Sebahagian guni disyaki berisi daun ketum dan motosikal yang dirampas PGA di Felda Mata Ayer, Padang Besar. Foto Ihsan PGA
Aizat Sharif

Padang Besar: Tiga lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas 23 guni putih mengandungi daun hijau disyaki ketum seberat 656 kilogram (kg) di Felda Mata Ayer di sini, Jumaat lalu.

Pegawai Pemerintah Medan Markas Taktikal PGA Briged Utara Deputi Superintendan Mohd Razali Melin berkata, rampasan itu dibuat pada 1.30 tengah hari di kawasan kandang kambing oleh Batalion 2 PGA Kulim, Kedah ketika menjalankan operasi membanteras penyeludupan di kawasan berkenaan.

"Ketika kejadian, pasukan PGA berkenaan yang terdiri daripada seorang pegawai dan 11 anggota sedang menjalankan operasi di kawasan itu sebelum terserempak dengan tiga lelaki mencurigakan di kawasan itu.

"Kesemua lelaki berusia antara 32 dan 33 tahun kemudiannya ditahan dan pemeriksaan kemudiannya membawa anggota PGA kepada penemuan 23 guni putih mengandungi daun hijau disyaki daun ketum dalam kandang kambing itu.

"Siasatan awal kita mendapati, ketiga-tiga suspek itu dipercayai menjadi anggota sindiket yang cuba menyeludup daun ketum berkenaan ke Thailand menggunakan 'lorong tikus' yang terdapat di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut merampas dua motosikal yang dipercayai digunakan suspek dalam kes berkenaan selain empat telefon bimbit pelbagai jenama.

"Seorang daripada suspek yang berasal dari Thailand didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta perjalanan yang sah dan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963.

"Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM25,445 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Sepanjang penugasan Batalion 2 PGA Kulim mulai 1 Ogos lalu, sebanyak 1101 kg daun ketum dengan anggaran nilai RM33,060 berjaya dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 8:37 AM