Polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Raja Noraina Raja Rahim

Subang: Rakaman video yang tular di media sosial mendakwa Jalur Gemilang dikibarkan dalam keadaan terbalik sebenarnya disebabkan tiang patah kerana ditiup angin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, rakaman itu dikesan pada 9.25 malam semalam selepas dimuat naik seorang individu di Twitter.

"Pada jam 10.40 malam, pegawai dari Balai Polis Bukit Puchong ke sebuah kawasan kondominium di Taman Puchong Perdana.

"Pemeriksaan mendapati tiang bendera itu patah akibat ditiup angin dan menyebabkan Jalur Gemilang menghala ke bawah. Ketua pengawal keselamatan menurunkannya serta-merta sebelum digantikan dengan tiang baru," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, satu laporan polis dibuat dan ciapan berkenaan sudah dipadamkan selepas tindakan diambil berhubung isu terbabit.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat atau menyebarkan maklumat tanpa usul periksa.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat kepada Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 10:10 PM