Datuk Mohd Nizar Zakaria.
Datuk Mohd Nizar Zakaria.
Noor Hidayah Tanzizi


Parit: "Saya patuh kepada keputusan parti. Parti melalui MKT (Majlis Kerja Tertinggi) telah membuat keputusan serta ketetapan," kata Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Hantaran itu dipercayai sebagai menafikan dirinya antara 31 Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) yang menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pendiriannya itu adalah mengikut ketetapan yang sudah dibuat parti seperti mana dinyatakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Selasa lalu.

"Sebagai ahli parti saya ikut keputusan parti," katanya dalam hantaran itu.

Semalam, Mohd Nizar disebut sebagai antara 10 Ahli Parlimen yang bersetuju menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan PN.

Pada Selasa lalu, Ahmad Zahid secara rasmi mengumumkan MKT Umno sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 5:54 PM