FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Tiga daerah mencatat peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sabah hari ini sekali gus menyumbang kepada 1,255 kes direkodkan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, daerah terbabit ialah Tuaran, Beluran dan Sandakan, masing-masing mencatat kes tiga angka hari ini berbanding hanya satu dan dua angka semalam.

Katanya, peningkatan tertinggi direkodkan di Beluran dengan sebanyak 123 kes baharu berbanding hanya enam kes yang dilaporkan semalam berpunca daripada saringan bersasar yang mengesan 109 kes baharu.

"Kes baharu di Tuaran melonjak tinggi ke 143, bertambah 47 kes berbanding 96 kes yang dicatatkan semalam. Ini disebabkan 39 kes baharu yang diperolehi melalui saringan bersasar di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 79 kes kontak rapat.

"Kes baharu di Sandakan juga mencatatkan penambahan yang tinggi iaitu daripada 72 kes semalam kepada 108 kes hari ini. Kluster baharu Lebuh Empat menyumbang 39 kes bagi daerah ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, katanya daerah Kota Kinabalu dan Tawau juga masih mencatat kes yang tinggi tiga angka hari ini walaupun ada sedikit penurunan.

Kedua-dua daerah itu, katanya masing-masing mencatat sebanyak 241 kes dan 135 kes hari ini, berbanding 262 kes dan 177 kes semalam.

Katanya, semua daerah di Sabah mencatat kes baharu hari ini dengan sekurang-kurang satu kes iaitu di Kuala Penyu, diikuti Ranau (dua), Nabawan (tiga), Sipitang dan Telupid masing-masing tujuh kes serta sembilan kes di Pitas.

Daerah lain, katanya mencatat kes dua angka dan tiga angka hari ini bermula dengan 10 kes di Semporna hingga 241 kes di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan tempatan dan Perumahan negeri, berkata kontak rapat kekal menjadi penyumbang terbesar kes baharu hari ini dengan sebanyak 618 kes atau 49.2 peratus daripada jumlah harian.

"Ia diikuti kategori bergejala sebanyak 247 kes (19.7 peratus) dan melalui kluster sedia ada sebanyak 131 kes (10.4 peratus).

"Kes baharu yang diperolehi melalui saringan bersasar di lokasi PKPD pula menyumbang 187 kes atau hampir 15 peratus daripada kes keseluruhan," katanya.

Katanya, dua kluster baharu turut dilaporkan hari ini iaitu Kluster Tarikan, Nabawan yang sehingga kini mencatat 14 kes termasuk satu kes baharu dan Kluster Lebuh Empat, Sandakan yang merekodkan kumulatif 50 kes termasuk 39 kes baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 5:46 PM