GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menunggu perkembangan lanjut mengenai kemungkinan rakyat negara ini dibenarkan menunaikan umrah tahun ini.

Naib Presiden Umrah dan Haji MATTA, Mohd Azri Abd Razak, berkata, kenyataan daripada Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam bahawa rakyat Malaysia dijangka berpeluang mengerjakan ibadah umrah pada tahun sangat melegakan.

"Memang ramai yang bertanyakan hal ini kepada kami kerana tidak sabar untuk ke Tanah Suci.

"Tambahan pula ramai individu yang sudah membuat pembayaran kepada agensi tempatan untuk menunaikan umrah yang tertangguh sejak awal tahun lalu akibat pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, Zulkifli dilapor berkata, rakyat Malaysia dijangka berpeluang mengerjakan ibadah umrah pada tahun ini sekiranya kes jangkitan Covid-19 di dalam negara menurun dan mencapai sasaran 80 peratus penduduk mendapat vaksinasi Covid-19.

Beliau dipetik berkata, ia juga bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta SOP yang ditetapkan negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Azri berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat menetapkan suatu garis masa yang sesuai mengenai kebenaran menunaikan umrah bagi membolehkan persiapan dibuat.

Terdahulu, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saed Qattan dalam satu kenyataan memaklumkan kadar vaksinasi negara yang antara terpantas di dunia membolehkan Malaysia disenaraikan antara 49 negara yang diberi kelulusan negara itu bagi tujuan pelancongan termasuk umrah bermula 1 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 12:28 PM