Keadaan di kaunter khas bagi Program Rekalibrasi Pulang Pati oleh JIM di KLIA terkawal. FOTO ASYRAF HAMZAH
Keadaan di kaunter khas bagi Program Rekalibrasi Pulang Pati oleh JIM di KLIA terkawal. FOTO ASYRAF HAMZAH
Amir Abd Hamid


Sepang: Berjalan lancar dan tiada kesesakan.

Itu hasil tinjauan Harian Metro ke atas pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di Aras 2, Blok B, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Tiada hiruk-pikuk dan pemandangan Pati berselerakan serta tidur di kawasan diubahsuai dan disediakan khas itu.

Kawasan parkir itu turut dilengkapi bangku dan alat penghawa dingin bergerak untuk memastikan keselesaan Pati membuat urusan masing-masing sebelum pulang ke negara mereka.

Sebanyak 20 kaunter dibuka bagi tujuan berkenaan termasuk dua kaunter khas untuk golongan seperti orang kurang upaya, ibu mengandung dan warga emas.

Bagi memastikan kelancaran urusan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hanya membenarkan Pati berada dalam kawasan kaunter dan pembabitan ejen adalah dilarang.

Dalam masa setengah jam, setiap Pati dapat menyelesaikan urusan masing-masing di kaunter.

Program Rekalibrasi Pulang Pati adalah inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada Pati yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa atau berada di Malaysia tanpa pas yang sah untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

Kadar kompaun dikenakan adalah RM500 bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa, RM500 bagi kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada pas sah dan RM300 bagi kesalahan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas.

Kaedah pembayaran digunakan buat masa ini adalah menerusi kad debit, kad kredit dan e-wallet sahaja serta tiada urusan pembayaran secara tunai.

Syarat menyertai Program Rekalibrasi Pulang Pati di KLIA adalah memiliki dokumen perjalanan sah yang diluluskan kedutaan masing-masing, memiliki tiket pulang ke negara asal, membayar kompaun dan mempunyai slip ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR).

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, bagi tempoh 8 hingga 31 Julai lalu, seramai 8,856 Pati sudah dihantar pulang ke negara masing-masing menerusi program terbabit.

Dalam masa yang sama, katanya, pelbagai isu, aduan dan rungutan dibangkitkan di dalam media sosial oleh pelbagai individu dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk juga kedutaan.

"Antara isu yang dibangkitkan ialah kesesakan dan tiada penjarakan sosial, tiada kemudahan kiosk untuk membeli makanan dan minuman dan terlepas penerbangan kerana kelewatan proses kerja.

"Berdasarkan kepada maklum balas diterima, Jabatan Imigresen dengan bantuan Malaysia Airport Berhad mengambil langkah segera membina 20 kaunter baru yang terletak di Short Term Car Park, Aras 2, Blok B, KLIA.

"Ruang menunggu yang lebih luas dengan kapasiti 800 hingga 1,000 orang disediakan dengan kemudahan seperti 'industrial fan' bagi memberikan ventilasi yang lebih baik, kiosk menjual makanan dan perkhidmatan fotostat, surau, penjarakan sosial melalui kerusi-kerusi yang disediakan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sejak kaunter baru itu beroperasi mulai 31 Julai lalu, tiada lagi laporan mereka terlepas penerbangan diterima.

Katanya, semua warga asing yang menyertai program itu perlu datang ke KLIA dalam masa 24 jam sebelum penerbangan.

"JIM menasihatkan supaya semua Pati berurusan terus dengan JIM dan tidak melalui orang tengah atau ejen.

"Selain itu, semua Pati diingatkan supaya tidak menunggu hingga saat akhir tempoh program pada 31 Disember 2021 untuk pulang ke negara asal melalui kemudahan rekalibrasi ini," katanya.

Menurutnya, JIM juga membuka kaunter khas di Stulang Laut, Johor yang beroperasi mulai 1 Ogos lalu dan seramai 109 Pati sudah dihantar pulang melalui kaunter terbabit.

Selain itu, katanya, sebanyak lapan kaunter dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak kelmarin.

"Perancangan seterusnya ialah membuka kaunter di Pasir Gudang, Johor dan Pelabuhan Klang, Selangor yang dijangka beroperasi mulai 15 Ogos 2021.

"Dari segi statistik, jumlah yang sudah mendaftar sehingga 1 Ogos 2021 ialah 107,524 orang dan seramai 88,034 daripadanya sudah pulang dengan jumlah kompaun dikutip ialah sebanyak RM52,087,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 5:23 PM