Norzamira Che Noh

Shah Alam: Keputusan 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan serta kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan politik negara semakin dinamik.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia juga membuktikan ahli parlimen terbabit mementingkan rakyat berbanding kemahuan parti sendiri.

"Alhamdulillah, saya ingin menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT kerana politik negara kini semakin dinamik.

"Walaupun sudah ada keputusan daripada parti, ia mungkin bukan datang daripada keseluruhan ahli tetapi datang dari beberapa pemimpin. Ia sekaligus menyebabkan ahli parlimen bertindak menggunakan kewarasan dan kebijaksanaan masing-masing meletakkan kepentingan yang lebih utama melebihi kepentingan politik dan kemahuan parti.

"Sokongan kepada Perdana Menteri bukan kerana kerajaan ini terlalu sempurna tetapi kerana kita berpandangan perlunya bekerjasama lebih rapat supaya kepentingan rakyat diutamakan ketika pandemik covid-19 ini," katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Ideal Convention Centre (IDCC) di Seksyen 15 di sini, tadi.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada sidang media selepas meninjau orang ramai menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada sidang media selepas meninjau orang ramai menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Terdahulu, seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Ketika mengumumkan pendirian itu, mereka juga menyokong supaya keabsahan kerajaan PN dan kepemimpinan Perdana Menteri ditentukan ketika persidangan Parlimen pada September depan.

Pendirian itu dinyatakan dalam sidang media yang dihadiri 21 Ahli Parlimen UMNO dan BN, diketuai Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Seramai 10 lagi Ahli Parlimen UMNO dan BN yang bersetuju mengambil pendirian sama namun tidak hadir ketika sidang media itu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang dilantik kelmarin memaklumkan pelantikan beliau ke jawatan itu adalah untuk membantu Perdana Menteri memberi tumpuan khas kepada masalah menangani krisis kesihatan dan ekonomi rakyat.

Katanya, antara perkara yang akan diberi tumpuan oleh beliau ialah jalinan komuniti khususnya dalam menyampaikan pandangan rakyat kepada perdana menteri.

"Antara perkara yang saya berikan tumpuan adalah dari segi jalinan komuniti iaitu 'engagement' dengan masyarakat yang tentunya ada banyak pandangan yang nak disampaikan kepada perdana menteri pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 5:17 PM