Oleh Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Semua ahli farmasi berlesen diarah menghentikan serta-merta aktiviti pengimportan, pengilangan dan penjualan bahan mentah Ivermectin atau produk yang mengandungi Ivermectin bagi tujuan rawatan jangkitan Covid-19.

Melalui senarai edaran dimaklumkan kepada media semalam, arahan itu juga membabitkan pengimportan atau penjualan produk yang mengandungi Ivermectin bagi merawat jangkitan Covid-19.

Merujuk dasar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui kenyataan akhbar bertarikh 16 Mei lalu, KKM tiada halangan penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin hanya bagi percubaan klinikal di Malaysia.

Kenyataan itu yang dikeluarkan Pejabat Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, menyebut sebarang pengimportan atau penjualan bahan mentah Ivermectin atau produk mengandungi Ivermectin perlu mematuhi semua keperluan perundangan dan regulatori ditetapkan bagi tujuan itu. Pengiklanan produk racun termasuk Ivermectin tidak dibenarkan sama sekali kerana bertentangan dasar Lembaga Iklan Ubat (LIU).

Pihak terbabit diminta menghentikan pengiklanan produk itu dan tidak diulang siar dalam mana-mana media selain persatuan farmasi perlu memastikan ahli masing-masing mematuhi undang-undang dikuatkuasakan serta dasar KKM dalam usaha pencegahan penggunaan tidak sah produk Ivermectin.

Surat edaran itu memaklumkan sebarang penjualan atau pembekalan serta pengiklanan ubat tertakluk kepada kawalan bawah Akta Racun 1952. Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, bakal berdepan dengan tindakan penguatkuasaan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 6:45 AM