GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 33 kluster baharu yang dilaporkan di Selangor, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Putrajaya, Kelantan, Sarawak, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 33 kluster itu, 18 kluster membabitkan tempat kerja, manakala 12 lagi kluster komuniti.

"Dua lagi kluster dilaporkan berkaitan pusat tahanan dan satu kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi.

"Daripada 33 kluster yang dilaporkan, lapan daripadanya dari Kelantan, Selangor (7), Sarawak (4), Melaka (4), Johor (4), Kedah (2) dan masing-masing satu kluster di Pulau Pinang, Putrajaya, Perak dan Negeri Sembilan.

"Sebanyak 3,829 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 2,652 kluster dilaporkan tamat, manakala 1,177 kluster lagi masih aktif, setakat hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, data terkini kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia sehingga kelmarin adalah sebanyak 1.07.

"Negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Kelantan dengan 1.31 diikuti Terengganu (1.26) dan Perak (1.22).

"Selain itu, negeri lain yang turut mencatatkan nilai RT melebihi 1.0 adalah Pahang (1.22), Pulau Pinang (1.19), Sabah (1.17), Kedah (1.16), Johor (1.14), Kuala Lumpur (1.13), Sarawak (1.08), Selangor (1.08), Putrajaya (1.08) dan Melaka (1.06)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 8:34 PM