GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Shah Alam: Sebanyak 71.2 peratus rakyat Selangor sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, hasil program vaksinasi yang giat dijalankan di seluruh negeri itu menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Vaksin Selangor (SelVAX).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesemua usaha itu akan dilihat hasilnya menjelang September ini, ke arah mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan rakyat Selangor.

"Meskipun menghadapi cabaran sebagai negeri yang mempunyai penduduk paling ramai di Semenanjung, serta mencatat kes Covid-19 tertinggi, Selangor terus memacu usaha vaksinasi dengan pencapaian terkini sejumlah 4.89 juta dos vaksin, telah disuntik dan tambahan 225,628 dos lagi telah disuntik menerusi SelVAX," katanya menerusi Facebook rasminya hari ini.

Pada masa yang sama, Amirudin berkata, pandemik Covid-19 telah memaksa semua lapisan rakyat negeri itu mengubah cara berfikir, dan cara kerja serta mendorong kerajaan negeri menggiatkan usaha bagi melipatgandakan hasil negeri.

Katanya, agenda digitalisasi yang telah berkembang di Selangor perlu terus dimantapkan.

"Inisiatif-inisiatif digitalisasi perkhidmatan awam mesti diperbanyakkan untuk memudahkan rakyat berurusan khususnya di era pandemik dan pasca pandemik kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 8:22 PM