Zulkifli menyembur cecair sanitasi pada penerima vaksin manakala Mohd Safari dan Jaafar meneliti janji temu. FOTO HASSAN OMAR
Zulkifli menyembur cecair sanitasi pada penerima vaksin manakala Mohd Safari dan Jaafar meneliti janji temu. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Walaupun dianggap golongan [pakcik pencen' namun tiga lelaki tetap bersemangat membantu kelancaran Program Kebajikan (Outreach) Vaksinasi Covid-19 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di sini.

Mohd Safari Salleh, 56, Zulkifli Mohd Noor, 55, dan Jaafar Atan, 59, memilih menjadi sukarelawan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti

(MOVAK) dalam membantu melakukan sanitasi terhadap penerima vaksin.

Selain itu mereka turut membantu melancarkan aliran lalu lintas keluar dan masuk ke kawasan berkenaan bagi memastikan tiada penerima vaksin cedera dilanggar kenderaan.

Mohd Safari berkata, dia teruja untuk memberikan perkhidmatan sebagai sukarelawan MOVAK apabila pendaftaran dibuka minggu lalu

semata-mata untuk berbakti kepada masyarakat.

"Saya amat gembira dapat menyumbangkan masa dan tenaga bagi menjayakan program kebajikan ini kerana selama ini saya hanya

bekerja kampung dan jarang dapat berkhidmat untuk masyarakat.

"Sejurus selepas solat Subuh, saya sudah berada di dewan ini bagi membantu kelancaran pendafaran penerima vaksin," katanya ketika ditemui di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) di sini, tadi.

Sementara itu Zulkifli berkata, dia tidak mahu ketinggalan untuk memberikan sumbangan bersama petugas Jabatan Perpaduan

Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah dan JAPERUN.

"Alhamdulillah, walaupun tugas saya sekadar menyembur sanitasi ke tubuh penerima vaksin namun saya bangga melakukannya.

"Sedikit sebanyak saya turut berjasa kepada kerajaan yang berusaha memutuskan rantaian wabak covid-19 yang semakin menular dan membimbangkan sekarang," katanya.

Sementara itu Jaafar berkata, dia tidak memikirkan mengenai elaun disediakan ketika mendaftar sebagai sukarelawan MOVAK,

"Walaupun penat berdiri di tengah panas untuk membantu pendaftaran penerima vaksin namun saya bangga dapat menyumbang tenaga," katanya.

Dia bersyukur kerana penerima vaksin tidak banyak kerenah dan mematuhi segala arahan diberikan sukarelawan MOVAK dan doktor,

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 5:40 PM