Dr Mohd Zurairie pada sidang media ketika meninjau keadaan pesakit Covid-19 yang berada di PKRC Tanjung Chat di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Dr Mohd Zurairie pada sidang media ketika meninjau keadaan pesakit Covid-19 yang berada di PKRC Tanjung Chat di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kelantan membuka beberapa Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) susulan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak sejak beberapa hari lalu.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, PKRC itu akan dibuka membabitkan PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut yang sebelum ini berada dalam keadaan 'standby mode'.

Katanya, PKRC SMK Kampung Laut akan dibuka kembali hari ini dan dapat menempatkan seramai 250 pesakit iaitu 130 lelaki dan 120 wanita.

"Pembukaan kembali PKRC di SMK Kampung Laut menjadikan jumlah keseluruhan PKRC di negeri ini sebanyak 13.

"Kita juga akan membuka PKRC di dua daerah iaitu Machang dan Gua Musang. Pihak kita kini sedang dalam proses untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai.

"PKRC di dua daerah itu akan dibuka dalam masa terdekat bagi menampung keperluan pesakit yang makin bertambah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan 200 kotak makanan untuk kanak-kanak yang disampaikan oleh Pemilik GMF Ideal Gift Supply, Woon Sneau Huey di PKRC Tanjung Chat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Dr Mohd Zurairie berkata, kadar penggunaan katil di 12 PKRC di Kelantan sehingga hari ini adalah di antara 70 hingga 95 peratus.

Semalam, Kelantan merekodkan 915 kes Covid-19 dan enam kluster baharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 1:00 PM