GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seorang suri rumah berputih mata selepas semua wang simpanannya RM45,000 lebur akibat diperdaya pelaburan bitcoin tidak wujud pada 26 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 56 tahun dikatakan berminat untuk melabur selepas melihat iklan dan terus membuat pendaftaran dengan sebuah syarikat bagi tujuan itu.

Menurutnya, selepas itu mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki bernama David Kaminsky memaklumkan wang pelaburan akan digandakan ratusan ribu ringgit jika berminat untuk melabur.

"Pada 27 Julai, jam 4.32 petang, mangsa membuat pemindahan wang RM30,000 melalui aplikasi bitcoin.

"Kemudian pada keesokan hari kira-kira jam 3.26 petang, mangsa memasukkan lagi wang sebanyak RM15,000 melalui bitcoin yang sama," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, Isnin lalu, mangsa menerima panggilan dari David Kaminsky minta memasukkan wang RM50,000 bagi tujuan pembayaran cukai keuntungan.

Jelasnya, suspek mendakwa mangsa akan memperoleh keuntungan pelaburan RM480,000 seandainya mangsa memasukkan wang seperti diminta.

"Mangsa bagaimanapun tidak mengendahkan permintaan itu kerana wang simpanannya sudah habis dilaburkan dan mula mensyaki dirinya ditipu.

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan petang semalam," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 10:11 AM