Datuk Ahmad Yakob. Foto NSTP
Datuk Ahmad Yakob. Foto NSTP
BERNAMA

Kota Bharu: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengingatkan agar rakyat negeri itu sentiasa berwaspada dan meningkatkan kawalan kendiri berikutan peningkatan semula kes Covid-19 di negeri terbabit.

Beliau turut menasihatkan rakyat supaya mengelakkan daripada terbabit dalam aktiviti berkumpulan dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Hari ini, Kelantan merekodkan kes harian sebanyak 915 kes, iaitu tertinggi sejak penularan pandemik itu di Kelantan.

"Sama-sama kita berdoa dan munajat agar Allah memberi kesejahteraan dan keselamatan daripada wabak Covid-19," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menerusi hantaran berkenaan, Ahmad turut berkongsi laporan oleh Bernama berhubung kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) yang percaya bahawa varian Delta dilaporkan di Pasir Puteh sudah tersebar ke beberapa daerah seperti Bachok dan Tanah Merah hingga menyebabkan peningkatan jangkitan Covid-19 di negeri itu.

Kelantan mengesan kes pertama varian Delta membabitkan seorang wanita di Pasir Puteh yang disahkan positif pda 23 Julai lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 9:08 PM