GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Terengganu: Orang ramai tidak perlu panik dengan maklumat yang tular di media sosial kononnya terdapat 39 pesakit Covid-19 varian Delta dikesan di sekitar kawasan perumahan Kuala Ibai di sini, kerana ia adalah palsu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, setakat ini kes varian Delta kekal dua pesakit iaitu yang dikesan berlaku di Kuala Terengganu.

"Memang kita ada hantar beberapa sampel ke makmal di Kuala Lumpur dan masih menunggu keputusan 'penjujukan genom' yang dijalankan.

"Ia penting untuk mengenal pasti sama ada masih berlaku jangkitan Covid-19 varian Delta di Terengganu, selain dua kes yang dilaporkan sebelum ini. Namun, yang pasti maklumat mengenai 39 pesakit varian Delta itu adalah tidak benar sama sekali," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Menerusi maklumat yang tular itu, penduduk Kuala Ibai dimaklumkan bahawa petugas kesihatan akan membuat ujian calitan kepada penduduk kampung malam ini susulan kononnya terdapat 39 kes varian Delta.

Penduduk juga diberi amaran kononnya kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kuala Ibai dan kawasan perumahan di Kondo Rakyat Kuala Ibai untuk mencegah penularan Covid-19.

Sehubungan itu, Dr Alias berharap orang ramai hanya merujuk maklumat dari Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bagi mengetahui perkembangan semasa Covid-19 di negeri itu.

"Paling penting terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kekal berada di rumah jika tiada urusan penting kerana risiko penularan varian Delta tetap ada di seluruh negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 7:32 PM