FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Pengurusan jenazah pesakit covid-19 beragama Islam di tiga hospital di Selangor kini tidak melebihi tempoh 24 jam susulan pelaksanaan inisiatif pengurusan jenazah dilaksanakan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya juga dalam perbincangan dengan pengendali mayat pesakit covid-19 bukan Islam bagi proses pengurusan yang sebelum ini memakan masa sehingga empat hari.

"Alhamdulillah, suka saya maklumkan bahawa tiada lagi 'limpahan' jenazah pesakit covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) seperti dilaporkan sebelum ini.

"Ia selepas beberapa inisiatif yang kita laksanakan termasuk menjadikan tiga hospital iaitu HTAR, Hospital Shah Alam dan Hospital Sungai Buloh sebagai pusat pengurusan jenazah covid-19.

"Kini, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sedang berbincang dengan pengendali bagi mempercepatkan proses pengurusan mayat bukan Islam," katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, tadi.

Dalam pada itu Amirudin memaklumkan, 30 peratus individu di negeri ini sudah menerima dua dos vaksin covid-19 sehingga semalam.

"Dalam tempoh 20 hari lagi kita akan mencecah 50 peratus. Maknanya sehingga akhir Ogos, kita mungkin hampir mencapai 60 peratus.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati dengan angka ini justeru pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk menumpukan suntikan vaksin kepada kepada warga asing sama ada yang berdokumen atau tidak," katanya.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan bahawa penerima vaksin dalam program Vaksin Selangor (SelVAX) secara walk in (jumpa terus) akan diberi sesi temujanji di aplikasi SeLangkah bagi suntikan dos kedua.

Katanya, pemberian temu janji itu bagi mengelak kesesakan di antara penerima vaksin di PPV.

"Saya ambil maklum mengenai kebanjiran orang awam yang mahu ambil vaksin setelah kerajaan negeri benarkan untuk 'walk-in' ambil vaksin.

"Dengan memberikan sesi temujanji diharap dapat mengatasi apa yang berlaku di beberapa PPV semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:16 PM