Keadaan air seakan berkelodak dan berminyak di kawasan Parit D3 - Paya Mahang di daerah Seberang Perai Selatan. FOTO Ihsan SAM
Keadaan air seakan berkelodak dan berminyak di kawasan Parit D3 - Paya Mahang di daerah Seberang Perai Selatan. FOTO Ihsan SAM
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Pihak berkuasa berkaitan digesa untuk menyiasat dan mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah pencemaran air dari Parit D3-Paya Mahang, di sini, dengan segera.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), R Meenakshi berkata, pihaknya pernah membangkitkan isu berkenaan, namun sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan mendapati air parit terbabit kotor, berbau, berkelodak dan keadaan seakan-akan berminyak dapat dilihat dengan jelas dari jalan utama.

Katanya, kualiti air semakin buruk dan saliran air dari parit yang tercemar itu menuju ke lembangan Sungai Jawi seterusnya ke muara Sungai Jawi dan akhirnya ke laut.

"Berdasarkan maklum balas yang diterima, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Seberang Perai Selatan sudah menjalankan siasatan terhadap aduan oleh SAM.

"Pihak terbabit menyatakan antara punca air parit menjadi hitam dan kotor disebabkan berlaku aktiviti penternakan khinzir di persekitaran Parit D3 (Paya Mahang).

"Malah, dilaporkan air dari ladang ternakan berkenaan mengalir secara terus ke dalam parit berdekatan dan masuk ke dalam parit itu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan perkara terbabit sudah lama terjadi dan diketahui pihak berkuasa, tetapi masalah pencemaran ini masih tiada kesudahan.

"Ia seperti keadaan yang berlaku di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, di mana sisa kumbahan ternakan babi membelenggu penduduk selama lebih 40 tahun.

"Justeru, Enakmen Penternakan Babi 2016 dan Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Negeri Pulau Pinang) 2020 perlu dikuat kuasa dengan lebih tegas untuk menyelesaikan masalah ini.

"Kami percaya jika masalah pencemaran di Parit D3 ini berterusan tanpa sebarang penguatkuasaan maka masalah akan lebih rumit dan menelan kos tinggi sekiranya projek pemulihan dirancang di masa akan datang," katanya.

Katanya, SAM menyarankan pihak berkuasa mengadakan operasi bersepadu dan mengambil tindakan lebih tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan pencemaran terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:13 PM