GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Melvin Joni


Kuching: Kes rogol yang dilaporkan di negeri ini meningkat dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, dengan sebahagian besar kes angkara teman lelaki.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, daripada 67 kes yang direkodkan berbanding 59 kes dalam tempoh sama tahun lepas, 39 kes adalah membabitkan mangsa dirogol teman lelaki.

"Selain teman lelaki, kebanyakan suspek adalah terdiri daripada orang yang dikenali mangsa seperti kenalan baru (15 kes), bapa kandung (5 kes) dan lain-lain lagi manakala hanya satu kes membabitkan orang yang tidak dikenali," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Lukas Aket di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur II, hari ini.

Dalam pada itu, Fatimah berkata Sarawak juga merekodkan kes rogol kelima tertinggi di Malaysia yang menyaksikan kes tertinggi direkodkan di Selangor dengan 168 kes, diikuti Kedah (80 kes), Sabah (72 kes) dan Johor (69 kes).

Fatimah bercakap pada sidang media sempena menerima kunjungan hormat daripada Lukas di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur II, hari ini. FOTO MELVIN JONI
Fatimah bercakap pada sidang media sempena menerima kunjungan hormat daripada Lukas di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur II, hari ini. FOTO MELVIN JONI

Menjelas lanjut, beliau berkata daripada jumlah itu, 50 kes adalah mereka yang berumur antara 13 hingga 16 tahun, enam kes (0 hingga 12 tahun), lima kes (17 hingga 18 tahun), lima kes (19 hingga 25 tahun) dan satu kes (26 tahun ke atas).

Fatimah menambah 41 kes didapati mengandung dan 62 peratus membabitkan mangsa di bawah umur 16 tahun.

Sementara berkaitan kes bunuh diri, Fatimah berkata sebanyak 37 kes direkodkan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, berbanding 49 kes direkodkan sepanjang tahun lepas.

"Daripada jumlah kes bagi dua tahun berkenaan, 69 orang adalah lelaki," katanya.

Bagi cubaan bunuh diri pula, Fatimah berkata sebanyak 27 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, berbanding 24 kes pada Januari hingga Jun tahun lepas.

"Ini adalah peningkatan sebanyak 12.5 peratus (3 kes) walaupun tahun 2021 belum berakhir.

"Antara punca-punca yang dikenal pasti adalah isu kesihatan mental, putus cinta, masalah keluarga, hutang, penyalahgunaan dadah dan substan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:48 PM