GAMBAR hiasan.  FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Ipoh: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah mengatur pelbagai strategi dalam pengurusan hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri ini agar perkhidmatan yang disediakan sentiasa berada di dalam keadaan yang optimum sejak pandemik Covid-19 melanda tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, ini termasuklah pembabitan sebanyak 14 hospital KKM dan sejumlah 963 katil serta 81 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) telah disediakan khusus untuk merawat pesakit Covid-19.

"Selain itu, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Arena Badminton, Ipoh dengan kapasiti sebanyak 520 katil telah ditubuhkan dengan kerjasama kerajaan negeri.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,564 buah katil disediakan khusus bagi merawat Covid-19 di negeri Perak," katanya dalam kenyataan ringkas malam tadi.

Dalam perkongsian di laman Facebook Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu malam, memaklumkan Perak mencatatkan peningkatan kes Covid-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dr Noor Hisham dipetik berkata, setakat Sabtu, terdapat 121 pesakit Covid-19 di Perak yang sedang dirawat di ICU dengan kadar purata tujuh hari penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus.

"JKN Perak dengan kerjasama kerajaan negeri dan pelbagai agensi sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 yang diramalkan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi," katanya dipetik.

Perak mencatatkan 748 kes baharu Covid-19 semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 8:12 AM